Muawiyah bin Abu Sufyan (602-680) ialah pengasas Kerajaan Bani Ummaiyyah. Dia menentang pemerintahan khalifah terakhir Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Ali Abi Talib (menantu dan sepupu Nabi Muhammad s.a.w.). Beliau menawan Mesir dan menjadi Gabenor Syria dan Mesir sehinggalah peristiwa pembunuhan Saidina Ali pada tahun 661. Beliau memerintah dari tahun 661 masihi sehingga tahun 680 masihi. Beliau juga dikenali sebagai Mu'awiyah I.
Muawiyah dilahirkan pada tahun 602 masihi di dalam suku kaum Banu Abd Shams yang mana banyak antara mereka menentang Nabi Muhammad s.a.w. di Makkah. Mereka ini terus menentang Rasulullah s.a.w. sehinggalah hijrah nabi ke Madinah. Bapa Muawiyah yakni Abu Sufyan bin Harb ialah salah seorang yang benci akan Rasulullah s.a.w.
Muawiyah menjadi seorang Muslim sejak sebelum peristiwa pembukaan Kota Makkah tetapi menyorokkan status Islamnya daripada pengetahuan bapanya. Khalifah Muawiyah banyak diingati kerana khidmatnya di Syria. Dia juga terlibat dalam serangan ke atas tentera Byzantine di Syria.
Selepas kematian saudaranya Yazid pada tahun 640, Muawiyah dilantik menjadi Gabenor Syria oleh Saidina Umar Al-Khatab (khalifah kedua Islam). Menjelang tahun 647, Muawiyah telah membina sebuah angkatan tentera yang cukup kuat untuk menangkis serangan Byzantine malah cukup kuat untuk menyerang Byzantine. Mereka juga berjaya menawan Cyprus (649) dan Rhodes (654) sambil berjaya menumpaskan tentera laut Byzantine di Lycia (655). Semua ini terhenti selepas Saidina Ali Abi Talib menjadi khalifah
Sebagai saudara Saidina Uthman Affan, Muawiyah merasakan penyiasatan berhubung dengan kematian Saidina Uthman sengaja dilambatkan oleh Saidina Ali. Perang Jamal dan Perang Siffin terjadi yang akhirnya Saidina Ali mendapat kejayaan dalam kedua-dua pertempuran.
Muawiyah kemudiannya mengadakan rundingan dengan Saidina Ali selepas kekalahannya dalam Perang Siffin. Dengan menggunakan tipu muslihat, Muawiyah berjaya mengelirukan Saidina Ali yang akhirnya menyebabkan Muawiyah menakluk Mesir.
Apabila Saidina Ali dibunuh pada tahun 661, Muawiyah menguasai Syria dan Mesir di samping menguasai tentera teramai pada masa itu. Orang ramai di Madinah telah memilih Saidina Hasan sebagai khalifah pengganti Saidina Ali. Namun, untuk mengelakkan pertumpuhan darah orang-orang Muslim, Saidina Hassan, anak Saidina Ali telah mengiktiraf Muawiyah sebagai khalifah umat Islam dan bersara daripada politik
Selepas menjadi khalifah, Muawiyah mengembangkan empayar Islam dari Mesir di barat sehingga Iran di timur. Khalifah Muawiyah juga melantik ramai bekas pegawai-pegawai Byzantine (Rom Timur) sebagai pegawai di kawasan baru jajahan Islam. Hal ini menjadikannya popular dan terkenal di Syria
Muawiyah terkenal dengan usahanya mencantikkan Damsyik, ibu kota Kerajaan Bani Ummaiyyah. Beliau juga pernah melakukan serangan ke atas Constantinople, ibu kota Byzantine walaupun gagal menawan kota terbabit. Kebanyakan orang Islam memuji tindakan Muawiyah yang mengembangkan empayar Islam dengan begitu luas sehingga mampu mengugat Constantinople.
Golongan Syiah pula percaya semua tindakan Muawiyah adalah penderhakaan dan percaya bahawa Muawiyah sepatutnya menyerah diri kepada Saidina Ali sahaja.
Posting Komentar